BOLEHKAH BUKAN ISLAM BAYAR ZAKAT?

Soalan: Ada teman-teman saya yang bukan beragama Islam, namun pada setiap tahun mengeluarkan zakat dan memberikan sedekah. Apabila ditanya, kenapa mereka berbuat demikian, maka mereka menyatakan ia dapat menggandakan keuntungan perniagaan mereka. Saya keliru, apakah boleh bagi orang bukan Islam mengeluarkan zakat? Apakah statusnya masih dikira sebagai zakat? Bolehkah pusat zakat menerimanya? Apakah orang Islam boleh memanfaatkannya? Mohon pandangan ustaz.

Jawapan: Terima kasih di atas pertanyaan sangat baik yang diajukan. Sebenarnya, perkara yang berlaku ke atas diri saudara itu pasti juga berlaku di tempat lain. Malahan pengalaman di institusi zakat juga sama, kami pernah menerima kunjungan non muslim yang berhajat mahu membayar zakat. Biar pun jumlah mereka hanya sedikit; namun pastilah ia sesuatu yang menarik untuk dikaji. Malahan, pasti ada sesuatu rahsia di sebalik kesanggupan mereka untuk berkongsi harta mereka.

Berdasarkan pengalaman, memang ada non muslim yang suka bersedekah dan berzakat dan hasilnya, perniagaan mereka lebih berkembang. Sesuai dengan matlamat non muslim untuk meraih keuntungan yang tinggi, maka sudah pastilah kesan keuntungan selepas memberikan harta amat mengembirakan mereka. Tidak hairanlah, maka mereka akan terus bersedekah dan membayar zakat, kerana sudah jelas keuntungan yang diraih berlipat kali ganda selepas itu.

Bagi saya, hal ini bukanlah sesuatu yang pelik. Ini kerana, sudah menjadi sunnatullah (peraturan Allah), orang yang berbuat kebaikan maka akan dibalasi dengan kebaikan. Jika kita menanam padi, hasilnya padi. Jika padi itu dibajai dan diairi dengan baik, maka hasilnya akan menjadi berkali lipat. Itu sangat lumrah, maka demikianlah dalam konsep memberi

Mungkin bagi non muslim mereka tidak mempelajari dan memahami konsep ‘berkat’ atau ‘barakah’; tetapi hakikatnya, apa yang mereka dapat setelah memberikan harta (atas nama apa sahaja, sama ada sedekah, hadiah, derma atau zakat), ia adalah natijah atas kebaikan mereka. Allah SWT tidak lokek untuk mengganjari kebaikan atas kebaikan yang telah mereka lakukan.

Dalam hal ini, Nabi Muhammad SAW ada bersabda: “Allah tidak akan mengabaikan kebaikan seseorang mukmin, dia akan diberi ganjaran di dunia dan di akhirat. Orang bukan Islam pula menerima ganjaran kebaikan yang mereka lakukan kerana Allah semasa di dunia sahaja. Ada pun di akhirat kelak, tiada apa-apa habuan dan ganjaran kebaikan untuknya.” (Hadis sahih riwayat Imam Muslim)

Jelas, dinyatakan di dalam hadis bahawa kebaikan yang dilakukan oleh non muslim, maka mereka akan tetap menperolehi kebaikan dan ganjarannya di dunia. Namun, ganjaran di akhirat tiada buat mereka. Kenapakah ganjaran di akhirat tiada? Kerana mereka tidak mempunyai syarat, iaitu iman. Iman adalah ‘akaun’ yang membolehkan setiap ‘pahala’ amal soleh yang mereka lakukan disimpan di dalamnya.

Seperti mana seseorang yang mahu menyimpan wang di bank, maka wajib bagi mereka mempunyai ‘akaun’ di bank berkenaan. Tanpa akaun, maka pihak bank tidak boleh menerima wang berkenaan, biar pun wang yang mahu disimpan berjumlah jutaan ringgit. Jika disimpan juga tanpa akaun, samalah seperti menyerahkan wang berkenaan di dalam akaun ‘halimunan’. Apabila mahu dituntut kelak, wang itu juga akan menjadi ‘halimunan’, tidak akan ditemui.

Di dalam al-Quran, Allah SWT sudah pun memberi analogi, bahawa amalan tanpa iman itu ibarat fatamorgana di padang pasir atau debu-debu yang berterbangan kerana tiada ‘wadah’ atau bekas buat menyimpannya.

Firman Allah SWT: “Dan orang kafir pula, amal-amal mereka laksana fatamorgana di tanah yang disangkanya air oleh orang yang dahaga, (lalu ia menuju ke arahnya) sehingga apabila ia datang ke tempat itu, tidak didapati sesuatu pun yang disangkanya itu,” (an-Nur: 39) dan lagi: “Lalu Kami bawakan kepada mereka segala amalan yang dikerjakan, Kami jadikan ia seperti debu-debu yang berterbangan.” (al-Furqan: 23)

Walau bagaimanapun, Allah SWT yang bersifat Maha Pengasih itu tidak sesekali mengabaikan kebaikan para pelaku kebaikan berkenaan, sehingga ia tetap dibalas walaupun sekadar kebaikan atas dunia. Buktinya mereka memperolehi laba atas perniagaan. Sebab itu jugalah kita dapati atas dunia ini, orang-orang bukan Islam jugalah yang menjuarai agenda kebaikan dengan menubuhkan pelbagai yayasan dan bersedekah jutaan dollar. Misalnya Yayasan Gates yang sangat terkenal itu.

Namun, apa yang lebih menarik lagi untuk dikaji, segala macam kebaikan yang mereka lakukan di atas dunia ini, masih ada peluangnya untuk ditukar menjadi ‘akaun pahala’ bagi membantu mereka di akhirat dan meraih syurga. Syaratnya, mereka mestilah mengucapkan dua kalimah syahadah, dan secara automatis melayakkan mereka mendapat ‘akaun pahala’. Segala kebaikan yang dilakukan sebelum mereka mengucapkan dua kalimah syahadah, akan terus ‘dikreditkan’ ke dalam ‘akaun pahala’ berkenaan.

Dari Hakim bin Hizam r.a., dia bertanya: “Ya, Rasulullah! Bagaimana pendapat Tuan tentang sesuatu yang saya lakukan sebagai ibadah di masa jahiliyah berupa sedekah, memerdekakan hamba sahaya dan menghubungkan silaturrahim, dapat pahalakah saya atau tidak (selepas saya memeluk Islam)?” Jawab Nabi SAW: “Engkau telah Islam dengan memperolehi kebaikan di masa lalu.” (Hadis sahih riwayat Imam Bukhari)

Sekarang, mari kita telusuri pertanyaan-pertanyaan yang saudara bangkitkan di atas:

1. Apakah boleh bagi orang bukan Islam menunaikan zakat?

Di dalam Islam, tiada larangan bagi orang-orang bukan Islam untuk melakukan amal kebaikan. Seperti mana yang ditanyakan oleh Hakim bin Hizam r.a di atas, ia menunjukkan sebelum Hakim memeluk Islam, maka dia sendiri ada melakukan kebaikan-kebaikan. Kebaikan itu amat luas, termasuklah dalam aspek harta, sama ada disedekahkan, dihadiahkan dan sebagainya.

Cuma dalam konteks zakat, sudah pastilah perbuatan orang non muslim mengeluarkan zakat tidak dikira sebagai zakat. Samalah amalan lain, seperti solat dan puasa, jika non muslim melakukannya, ia tidak dianggap solat dan puasa di sisi Islam. Ini kerana, setiap ibadah mempunyai syarat wajib dan syarat sah. Syarat wajib zakat ialah beragama Islam, maka automatiklah non muslim tidak wajib melakukannya dan jika ia dilakukan, tidak ada status sah batal ke atas mereka.

2. Jika orang bukan Islam mengeluarkan zakat, apakah statusnya?

Statusnya ia menjadi pemberian biasa sahaja, tidak mendapat pahala ke atas pelakunya dan tidak dihukumkan berdosa ke atasnya jika dia enggan berzakat, kerana dosa ‘syirik’ yang sedia ada di tubuh badannya itu jauh lebih besar. Hukum dosa dan pahala hanyalah bagi orang-orang Islam.

Dari aspek faedah perundangan lain, misalnya perlepasan daripada cukai pendapatan dan cukai perniagaan, maka pastilah mereka tidak berhak ke atasnya, kerana ia dikhususkan hanya kepada orang-orang Islam sahaja.

3. Bolehkah menerima zakat atau sedekah dari non muslim?

Oleh kerana ia adalah pemberian yang dibuat dengan kerelaan, maka tidak menjadi masalah bagi umat Islam untuk menerimanya. Hukumnya halal dimanfaatkan. Samalah seperti mana zaman silam, golongan non muslim juga ada yang mengeluarkan bayaran kepada Negara Islam, seperti jizyah (cukai badan) dan kharaj (cukai tanah), dan ia dimasukkan ke dalam Baitul Mal untuk kegunaan negara, termasuk kepada umat Islam.

Malah di dalam kitab am-Amwal oleh Abu Ubaid, dikhabarkan pada zaman Umar al-Khattab r.a, ada sekelompok Arab dari Bani Taghlib yang beragama Nasrani, telah meminta izin daripada Umar r.a untuk menunaikan zakat, dan Umar menerima permohonan tersebut.

Dinukilkan kembali hal ini oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi di dalam kitabnya Hukum Zakat, pada halaman 99 – 101. Imam Baihaqi melaporkan dari sumber Ubadah bin Nu’man dalam sebuah hadis yang panjang, bahawa Umar al-Khattab r.a telah berdialog dengan Nasrani Bani Taghlib.

Kata wakil Bani Taghlib: “Kami adalah bangsa Arab yang tidak harus membayar (cukai jizyah) seperti apa yang dibayar oleh orang-orang bukan Arab. Tetapi, pungutlah daripada kami zakat seperti yang dipungut dari orang-orang lain (penduduk Muslim).”

Lalu Umar berkata: “Tidak, itu adalah kewajiban orang-orang Islam sahaja.” Namun Bani Taghlib tetap meminta: “Pungutlah lebih daripada zakat itu (yakni, tidak mengapa digandakan) dengan nama zakat, (asalkan) tidak dengan nama jizyah.”

Umar pun melaksanakan tuntutan mengambil ‘zakat’ ke atas Bani Taghlib sesuai dengan jumlah jizyah, demi menjaga perasaan mereka. (Hukum Zakat, hal. 101)

4. Bolehkah ia diagihkan sebagai zakat kepada orang-orang Islam?

Merujuk kepada tindakan Saiyidina Umar al-Khattab r.a menerima ‘zakat’ daripada Bani Taghlib di atas, maka jelaslah kepada kita bahawa ia halal dan boleh dimanfaatkan kepada semua pihak. Mungkin ada yang berkata, bukankah ‘zakat’ non muslim ketika itu akan dimasukkan ke dalam Baitul Mal, dan setiap harta yang masuk ke dalam Baitul Mal maka akan menjadi halal?

Jawapannya, ‘zakat’ yang diberikan oleh non muslim hari ini hakikatnya adalah dari hartanya sendiri, tidak dipaksa, malah dengan sukarela. Maka, pemberian seorang non muslim itu hakikatnya adalah satu pemberian yang halal. Seperti mana pemberian sedekah oleh Hakim bin Hizam r.a, di dalam hadis di atas ketika dia masih kufur. Sesungguhnya, status kufur tidak memberi kesan ‘halal atau haram’ atas pemberiannya. Maka, ia halal untuk dimanfaatkan atas jalan apa sekali pun.

Lagi pula, kita hendaklah berpegang dengan konsep, harta yang umum boleh dimanfaatkan untuk golongan yang khusus, manakala harta yang khusus sahajalah (seperti zakat), maka ia tidak boleh dimanfaatkan untuk yang umum, kecuali atas lapan asnaf yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Namun begitu, jika masih diragui sumber harta non muslim itu tidak halal, seperti hasil jualan arak, judi dan sebagainya (masih ada perasaan was-was untuk menggunakannya), maka tirulah seperti mana yang dilakukan oleh Khalifah Umar al-Khattab r.a, iaitu ia boleh sahaja disalurkan ke dalam Baitul Mal, agar ia menjadi halal 100 peratus tanpa was-was lagi.

Kesimpulannya, adalah harus bagi pusat zakat menerima zakat atau sedekah daripada non muslim, dan mereka mendapat manfaat atas dunia ini dalam bentuk keuntungan duniawi, dan ia akan bertukar menjadi pahala yang menguntungkan di akhirat seandainya non muslim berkenaan memeluk Islam. Maka, marilah kita doakan agar non muslim yang sangat baik hati itu mendapat hidayah, seperti mana Nabi Muhammad SAW sendiri pernah bersungguh-sungguh mendoakan hidayah buat pamannya Abu Talib dan juga Umar al-Khattab. Wallahua’lam.

Published by PatSalam

PayHalal Islamic Payment Gateway

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: